Jangan Bina ‘Jahiliyyah Baru’

836

KOTA BHARU – Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di Program Himpunan Fastaqim 60K menekankan agar orang-orang Islam tidak terpengaruh dengan pihak yang menaja jahiliyyah bentuk baru.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan negara melalui remaja dan belia mestilah melalui proses Islamisasi dan bukannya hanya menukar kerajaan semata-mata kerana cara begitu tidak akan berbeza dengan pemerintahan yang ada sekarang.

IMG_20151018_042221Berkata dikhalayak puluhan ribu di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Dato’ Tuan juga banyak menyentuh berkenaan penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama melibatkan isu 1MDB.

Timbalan Pengerusi Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayob kemudiannya mengambil tempat bagi mewakili 200 NGO untuk berucap dalam majlis malam ini, menegaskan bahawa kehadiran yang sebegitu ramai telah menghampakan harapan agar PAS dihapuskan dalam persada politik Negara.

Kongres Rakyat tambah beliau, akan membawa hasrat rakyat kepada kerajaan, NGO-NGO dan kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan hasrat rakyat diberi keutamaan.

Mantan Naib Presiden Keadilan Rakyat itu menegaskan akan bersama-sama PAS dan NGO-NGO lain bagi memastikan Putrajaya akan diambialih pada PRU ke 14 nanti.

IMG_20151018_042142YAB Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yaakob melahirkan keyakinan penuh bahawa kejayaan Kelantan mempertahankan kerajaan Islam sehingga 25 tahun adalah hasil sikap istiqamah ahli-ahlinya.

Kelantan telah membuktikan kepada negeri-negeri lain bahawa ia adalah guru politik dengan cara politiknya yang agak berlainan dengan negeri-negeri lain.

Sambil melahirkan rasa syukurnya dengan kejayaan ini, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ianya adalah hasil kesinambungan daripada pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan antara manusia ini menurut Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din pula telah berlaku bermula dari zaman nabi Adam lagi apabila Habil dan Qabil berbalah merebut pasangan.

Maka kata beliau, pihak yang benar-benar ikhlas dalam menyempurnakan suruhan Allah pastilah golongan yang berisitiqamah yang akan mendapat kemenangan dan keredhaan Allah.
Mengakhiri program ialah amanat Presiden PAS iaitu Dato; Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengambil kesempatan membacakan sajak yang digubah khas untuk program ini.

IMG_20151018_042105Beliau menegaskan apa sahaja makhluk yang tidak mengikuti jalan-jalan Allah, mereka akan menjadi zalim kerana mereka melampaui batas.

Tambah beliau lagi, politik cara Islam ialah tetap berada dalam jemaah dimasa senang susah dan tidak sewenang-wenangnya bertindak lari dari rumah terutama mendapat pujukan daripada pihak lain.

Sebagaimana contoh yang diberikan oleh beliau iaitu baiah dalam peristiwa Aqabah oleh para sahabat dari Madinah, mereka berisitiqamah dalam baiah mereka sehingga kepada semua khulafa’ ar-rasyidin kerana keimanan mereka.

Himpunan malam ini kata beliau adalah untuk mengukuhkan gerakan ini bagi memastikan PAS kekal dalam keredaan Allah disamping menunjukkan kesungguhan ahli-ahli PAS.

Atas apa jua halangan, ahli-ahli serta pemimpin digesa bersedia dan bersama-sama berisitiqamah untuk mempertahankan Islam kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Program telah ditangguhkan dengan bacaan doa oleh Presiden PAS yang begitu sebak membacakan bait-bait akhir doa dan bacaan ikrar perjuangan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dan diikuti oleh para hadirin.