KUALA TERENGGANU - Para pengayuh beca di sekitar bandar ini menuntut kerajaan negeri prihatin terhadap masalah yang mereka hadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesuai dengan slogan ' rakyat didahulukan'.
Dengan pendapatan yang tidak seberapa, mereka tidak mampu untuk menyara kehidupan keluarga terutamanya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu masakini.
Ditambah lagi dengan usia yang semakin meningkat dan mengalami masalah kesihatan, kehidupan mereka semakin tertekan.
Kebanyakan mereka yang masih mencari rezeki dengan mengayuh beca berusia lebih 60 tahun, yang sudah tentu kekuatan ‘tulang empat kerat’ mereka terbatas. (Gambar - Ngah dan rakan pengayuh beca.)
Dalam pada itu, persaingan dengan teksi dan bas yang memberikan khidmat lebih cepat dan selesa menyebabkan pelanggan beca semakin berkurangan.
Dengan bayaran minimum sebanyak RM2, walaupun mereka ‘menggatih’ beca dari awal pagi sehingga lewat petang, masih tidak dapat menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.
Beberapa orang pengayuh beca yang ditemui memberitahu, mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Haji Ali Abu Bakar, 62, (gambar kiri) berkata, pendapatan harian pengayuh beca sekitar bandar ini hanya dalam lingkungan RM20 sahaja yang bermula dari awal pagi hingga tengah hari.
Beliau yang mengayuh beca sejak lebih 30 tahun lalu pernah tidak mendapat seorang penumpang pun dalam sehari.
“Saya pusing dalam bandar di beberapa tempat tapi tak ada orang yang nak naik,” ujarnya yang pernah menjadi ahli persatuan pengayuh beca.
Namun begitu, beliau kesal kerana persatuan gagal membela ahli sepertinya apabila tidak disenaraikan untuk menerima bantuan basikal subsidi kerana dikatakan penyokong PAS.
Tambahnya, para pengayuh hari ini juga menghadapi kesulitan untuk membaiki kerosakan beca kerana sukar mendapat alat ganti.
Rakannya, Mohamad Abdullah, 65, berkata dengan adanya kemudahan pengangkutan lain seperti bas dan kereta sewa selain kenderaan sendiri, semakin ramai yang tidak lagi menggunakan perkhidmatan beca.
Ini, katanya menyebabkan ramai pengayuh beca yang mencari rezeki semakin sukar untuk memperolehi pendapatan sekitar RM15 sehari.
“Saya kadang-kadang dapat RM5 sehari, adakalanya sampai RM10 hingga RM15 tapi umumnya pendapatan tidak menentu,” ujarnya yang mengayuh beca sejak 40 tahun lalu.
Bagi Ngah Said, 70, masalah kesihatan yang dihadapinya menyebabkan lebih banyak berehat di atas beca daripada mengangkut penumpang.
Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ngah memulakan kerja mengayuh beca selepas “zaman Jepun” kerap mengalami sakit badan setelah membawa penumpang beberapa ketika.
“Saya rasa sakit badan selepas mengayuh beca, tapi bekerja juga untuk mencari rezeki. Kadang-kadang dalam satu hari saya langsung tak ada penumpang,” ujarnya yang sering meminta rakan-rakan membaiki kerosakan becanya.
Sementara itu, Noraziah Kadir, 50, mendakwa program beca elektrik yang dilaksanakan pada zaman Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu gagal membawa sebarang kemajuan kepada kehidupan penarik beca.
Beliau berkata program yang pernah digembar-gemburkan itu, kini menjadi bebanan kepada para pengayuh beca.
Katanya enjin elektrik yang selalu rosak itu, kini tidak dapat dibaiki lagi kerana tidak ada tempat untuk dibaiki.
“Dulu, walaupun selalu rosak, ada tempat baiki, di bawah ‘gertak’ (jambatan) dekat Hiliran, boleh baiki dengan percuma atau harga murah.
“sekarang enjin tak dapat digunakan kerana tempat baiki dah tak ada,”ujarnya.
Katanya ramai antara pengayuh beca terpaksa membelanjakan wang saku sendiri untuk menanggalkan kembali enjin tersebut kerana menambahkan beban berat ketika mengayuh.
Justeru, beliau berharap kerajaan negeri hari ini dapat berbuat sesuatu bagi membantu meringankan pengayuh beca untuk meneruskan kehidupan.





