BuletinOnline

Media Informasi Terkini

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita62/selamat%20ramadhan1.jpg

 

Wed11262014

Last update05:06:46 PM GMT

Back Home

Isu hudud, beza antara PAS dan Umno

  • PDF

Sempena Mengingati Perwartaan Enakmen kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu pada Ramadhan 1423H/2002M bersesuaian dengan Ramadan yang merupakan bulan diturunkan Al-Quraan.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah :

185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.

Al-Quran bukan sahaja membezakan antara kebenaran dan kebatilan tetapi membezakan antara golongan mukmin dan golongan munafiqin. Golongan mukmin yang setia dengan Islam yang lengkap dan sempurna. Golongan mukmin akan memperjuangkan Islam yang merangkumi seluruh aspek samada politik, pemerintahan, undang-undang, kemasyarakatan, pendidikan, kekeluargaan, pentadbiran dan akhlak. PAS yang konsisten dengan perjuangan Islam telah membuktikan keikhlasan dan kejujurannya untuk melaksanakan pemerintahan Islam di Kelantan di bawah pimpinan Dato Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan di Terengganu di bawah kepimpinan Dato seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang sepanjang 1999 sehingga 2004. PAS telah menghapuskan permis-permis perjudian dan menghadkan jualan arak. Dataran Batu Burok dijadikan tapak ilmu dan solat tarawih untuk mendidik anak-anak muda supaya mengingati kemuliaan Ramadhan dan mengelakkan kemaksiatan berlaku di persisiran pantai Batu Burok. Kerajaan PAS Terengganu telah mewartakan dengan pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Diri Negeri Terengganu dengan meletakkan pada rujukan tertinggi ialah al-Quran, Hadis Nabi, Ijma dan Qias.

RAMADHAN : ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DIWARTAKAN.


Kerajaan PAS Terengganu telah mencipta sejarah di bulan Ramadhan, apabila Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas) telah diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Terengganu. PAS sangat konsisten dengan perjuangannya, walaupun dikecam hebat oleh media pro UMNO dan berhadapan dengan tekanan dan sekatan daripada Kerajan Pusat dan UMNO. UMNO tidak berhak untuk mencerca kerjasama PAS dengan DAP, apabila ada pimpinan DAP tidak bersetuju dengan Hudud kerana sikap pimpinan UMNO terhadap Hudud sangat buruk. Kerjasama bukan bererti bersetuju dan bersepakat dalam semua perkara. Kerjasama Pakatan Rakyat untuk meruntuhkan kezaliman, penyalahguna kuasa, penyelewengan, penipuan, pembaziran, rasuah dan kejahatan UMNO dan Barisan Nasional. Contoh mudah, seorang lelaki muslim bekerjasama dengan seorang lelaki non muslim dalam perniagaan pakaian. Kerjasama dalam pengkongsian perniagaan bukan bererti bersetuju dalam semua urusan. Jika rakan kongsi non muslim mengajak rakan kong muslim agar jangan bersembahyang tetapi rakan kongsi muslim tidak bersetuju bukan bererti kerjasama dan pengkongsian perniagaan perlu ditamatkan. Kerjasama Rasulullah dengan Bani Khuza’ah yang tidak Islam bukan bererti Rasulullah menggadai perjuangannya dan bersetuju dengan semua urusan.

GOLONGAN MUNAFIQ JUGA TOLAK HUDUD

Pimpinan UMNO seolah-olah telah meletakkan mereka dalam kelompok yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran, apabila pimpinan UMNO menghina syariat Islam dan menghalang perlaksanaannya di Kelantan dan Terengganu. Allah berfirman DALAM SURAH An-Nisa’ ayat 60 :

60. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) Yang mendakwa Bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran Yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) Yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan Yang amat jauh.

Ustaz Abu A’la Al-Maududi menyatakan bahawa taghut bermaksud “semua negara, kuasa dan pemerintahan atau kepimpinan yang melanggari agama Allah dan menderhakainya, kemudiaan melaksanakan pemerintahannya di muka bumi dan memaksa seluruh rakyat mentaatinya dengan paksaan, godaan atau pendidikan yang rosak.”

Allah telah menyatakan perbezaan antara kelompok mukmin dan kelompok munafiq dengan ukuran tentang sikap dan pendirian mereka terhadap syariat Islam. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 61 :

61. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

Pimpinan UMNO cuba untuk mempersoalkan kerjasama PAS dengan DAP dan berusaha untuk menghancurkan pakatan ini untuk mengekalkan kuasa UMNO selepas PRU 13 bagi mendapat peluang terus untuk menentang syariat Islam dan melakukan kezaliman. Jika DAP tidak bersetuju dengan Hudud, PAS bersedia memahamkan mereka tentang perlaksanaan Hudud sebagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas). Non Muslim tidak perlu bimbang dan takut dengan Hudud dalam konteks perlaksanaannya kerana tercatat dalam Bahagian XI seksyen 59 : Pemakaian Enakmen ini : (1) Pemakaian Enakmen ini, tertakluk kepada subseksyen (2), Enakmen ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap ORANG ISLAM yang mukallaf mengenai apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Terengganu.

Bahkan PAS berhujjah dalam perlaksanaannya berdasarkan firman Allah dalam surah AL-Maidah, ayat 42 :

“Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”

ISU HUDUD MEMBEZAKAN PAS DENGAN UMNO

Persoalannya, pimpinan UMNO yang berdiam diri dan mengangguk kepala bersetuju serta dayus untuk berhadapan dengan pimpinan MCA yang menghina syariat Islam. Kalau UMNO jujur untuk memperjuangkan Islam, sudah tentu pimpinan UMNO akan membawa UMNO keluar daripada Barisan Nasional atau UMNO mengeluarkan MCA daripada Barisan Nasional tapi UMNO tidak berani melakukannya kerana cita-cita dan perjuangan UMNO sama dengan MCA, bahkan MCA telah memperkudakan UMNO puluhan tahun untuk membolot harta rakyat dan menghalang perjuangan Islam. Apabila Chua Soi Lek menghina undang-undang Islam dan Hudud, seluruh pimpinan UMNO tersenyum dan mengiyakannya. Dato Seri Najib, Presiden UMNO telah menyokong Presiden MCA dengan memberi jaminan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia dan mengganggap perlaksanaannya akan menyebabkan huru hara. Memalukan masyarakat Islam dan seluruh ahli UMNO yang cintakan Islam, apabila YB Ayub, wakil rakyat UMNO daripada Johor yang mencadangkan agar Johor melaksanakan Hudud tetapi dianggap oleh Presiden MCA sebagai seorang yang hilang akal. Hilang akal bererti gila. Seolah-olah pimpinan MCA kata kepada pimpinan UMNO gila tapi pimpinan dan ahli UMNO diam mengiyakannya.

Kerjasama Pakatan Rakyat sangat berbeza dengan kerjasama dalam Barisan Nasional, bahkan PAS sangat berbeza dengan UMNO. PAS bertegas dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan perjuangan dan dasarnya.Jika pengundi melayu Islam mahu dan sayangkan Islam dengan jaminan perlaksanaan syariah Islam dan keadilan untuk semua, nescaya mereka akan meninggalkan UMNO dan bersama dengan PAS. PAS telah bersedia ganti UMNO untuk ke Wisma darul Iman dan Putrajaya kerana PAS sangat berbeza dengan UMNO. Itulah furqan (perbezaan) yang diajar oleh Al-Quraan untuk diikuti. Rakyat sahaja yang boleh menentukan perbezaan ini dalam PRU 13.

***Ustaz Mohd Nor Hamzah   Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu 17 Ramadhan 1433

Komen: