BuletinOnline

Media Informasi Terkini

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita62/selamat%20ramadhan1.jpg

 

Tue09022014

Last update05:06:46 PM GMT

Back Artikel Pendapat Menangani Perubahan atau Tajdid dalam Gerakan PAS

Menangani Perubahan atau Tajdid dalam Gerakan PAS

  • PDF

agama’ atau klerikal sebagaimana yang terdapat dalam kehidupan gereja.”  Kemudian Dr Mujahid menyimpulkan “Kemungkinan persepsi orang ramai terhadap PAS sebagai parti orang agamawan ada kebenarannya sekaligus menghalang PAS untuk benar-benar menzahirkan dirinya sebagai parti yang merangkul semua pihak dalam slogan ‘PAS For All’ yang dilaungkan.  Ini juga menjejaskan peluangnya mendapatkan sokongan yang lebih meluas”.

Respon Terhadap Buku Rejuvenasi PAS oleh Dr Mujahid Yusof
Alhamdulillah saya telah membaca buku Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertajuk Rejuvenasi PAS: Idea Realiti Aplikasi ke arah Aspirasi Massa, sebagai buku Menuju PAS Baru II.

Di dalamnya terdapat tajuk-tajuk penting membicarakan landasan-landasan baru untuk membentuk sebuah perubahan melalui pembinaan Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang diberikan tenaga baru kepemudaan melalui saranan-saranan yang dibuat oleh beliau.  Saya memilih tajuk kecil “Pelabelan PAS sebagai Parti Keagamaan” pada muka surat 119 untuk diulas.  Walaupun tajuk kecil ini dimasukkan di bawah tajuk Tajdid Organisasi, tetapi ianya merupakan unsur yang paling dasar dan paling asas dalam penubuhan PAS itu sendiri.

Dr Mujahid menulis “PAS kemungkinan dipersepsikan sebagai parti agama yang dikuasai oleh golongan agamawan di mana persepsi ini akan membawa implikasi bahawa PAS dipimpin dan dikuasai oleh golongan agama atau rijaluddin dalam Bahasa Arab (dalam hal in ulama’)”.  Kemudian beliau memetik daripada Dr Yusof al-Qordhowi: “Kita tidak pernah mengenali sistem ‘orang


Tidak dapat dinafikan bahawa PAS adalah sebuah parti keagamaan kerana tujuan penubuhannya adalah untuk “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” (Perlembagaan PAS Fasal 5).  Iaitu sebuah parti yang tunduk kepada dasar-dasar Islam yang menjadi syariat akhir zaman.  Seperti yang telah disyariatkan kepada Nabi-Nabi terdahulu dan berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud
"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya - apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". (al-Syura:13)

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita63/rejuvenasi%20pas.jpgSejarah membuktikan PAS adalah parti keagamaan dan menjadi identiti yang tidak terpisah selama-lamanya.  Di antara sarjana yang menulis mengenai PAS sebagai parti agama ialah John Funston dalam Politics in Malaysia: A Study of PAS and UMNO. Beliau menyatakan PAS merupakan sebuah parti politik yang berorientasikan agama kerana tokoh-tokoh yang mengasaskannya adalah orang yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Sebahagian besar pemimpin parti itu diwakili oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, terutamanya guru-guru agama.  Funston menyatakan dengan perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, PAS adalah sebuah parti politik yang mempunyai ideologi yang jelas.  Ideologi PAS juga mempunyai aspek-aspek praktikal seperti dalam pendekatannya di bidang Islam dan ekonomi yang dijelaskan secara menyeluruh dan sistematik.  Parti itu menentang segala unsur yang bercanggah dengan dasar perjuangannya, terutamanya anasir mungkar dari Barat seperti tari menari, muzik yang melalaikan, kegiatan seks bebas, perjudian dan minum arak.  Funston juga membandingkan perbezaan dasar perjuangan PAS dengan UMNO di mana PAS adalah berlandaskan falsafah politik Islam dan menolak sekularisme sedangkan UMNO menyokong sekularisme (J. Funston,1980:102,135,148&161).

Shafie Ibrahim dalam The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology juga mengakui PAS sebagai parti agama kerana perjuangannya hendak mendaulatkan Islam.  Jika Islam ditafsirkan seperti yang difahami oleh PAS, maka ia adalah sebuah parti agama.  Pemimpin PAS percaya kepada ideologi atau doktrin yang membezakan parti itu daripada parti-parti politik lain.  Ciri paling nyata dalam pernyataan politik parti itu ialah berlandaskan Islam dan Islamlah yang menjadi matlamat akhirnya.  Komitmen PAS adalah menyeluruh di mana parti itu bersuara atau menjelaskan ideologinya mengikut fahamannya terhadap Islam yang berasaskan nas-nas al-Qur’an dan al-hadith yang menjadi sumber rujukannya.  Shafie menyatakan PAS melihat Islam secara keseluruhannya dan menerimanya sebagai ideologi yang lengkap.  Penerimaan PAS terhadap Islam merangkumi semua aspek ajaran Islam seperti politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.  PAS melihat Islam dalam bentuk yang sepadu dan berinteraksi di antara satu dengan lain sehingga membentuk struktur yang organik, iaitu tidak tepisah. PAS menganjurkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap (Shafei Ibrahim,1981:79,94,95&101).

Dasar PAS ialah Islam dan PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai Islam dan pemerintah yang melaksanakan hukum Islam (Perlembagaan PAS,Fasal 3&5(1)).  Dengan meletakkan Islam sebagai dasarnya PAS memperjuangkan cita-cita Islam secara berterusan (Yusof  Rawa, 1983).  Dalam memperjuangkan cita-cita itu, PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata, tetapi juga terlibat dalam bidang dakwah, pendidikan, kebajikan, ekonomi dan lain-lain aktiviti. Ahli-ahli parti itu digerakkan secara aktif dalam program tarbiah sama ada di masjid, surau dan lain-lain pusat pendidikan.  Mereka disemarakkan dengan budaya ilmu secara berterusan. 

PAS meletakkan kalimah suci "Allah Akbar" sebagai seruan dalam perjuangannya.  Seruan itu merupakan satu amanah sebagai "Khalifah Allah" di muka bumi bagi melaksanakan perintah Allah swt secara syumul.  Bagi merealisasikan amanah itu, PAS menggerakkan aktivitinya melalui keputusan mesyuarat atau majlis syura ulamaknya.  Parti itu berjuang menyeru masyarakat untuk menegakkan hukum Allah swt dan sunnah Rasulullah saw menerusi dakwah secara lisan, tulisan dan amalan (Perlembagaan PAS, Fasal 4&6(1)).  Pemimpin-pemimpinnya memberikan penjelasan dan penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah, dialog, diskusi dan lain-lain ke seluruh Malaysia.  Risalah-risalah dan buku-buku diterbitkan untuk mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang ajaran Islam.

PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah (Perlembagaan PAS,Fasal 6(2)).  Masyarakat diajak berpegang kepada akidah yang benar kerana ianya melahirkan penyerahan diri kepada Allah swt dan menerima segala hukumNya (Abdul Hadi Awang, 1985:37).  Isu yang membabitkan akidah menjadi bahan utama di dalam ucapan pemimpin-pemimpin PAS samada di Dewan Undangan Negeri, di Dewan Rakyat, di Dewan Negara dan di luar ketiga-tiga dewan itu.  Isu sekularisme, ajaran sesat, Islamisasi dan murtad adalah antara isu-isu yang ditangani secara serius oleh pemimpin-pemimpin parti itu.  PAS menentang habis-habisan sebarang ajaran sesat dan gerakan murtad yang menghancurkan akidah umat Islam di negara ini. 

Pendapat penulis untuk mengeluarkan PAS sebagai parti keagamaan mendorong kepada dua keadaan. Pertama: PAS meninggalkan urusan utamanya (core business) mengenai Islam dan Melayu dan kedua: PAS menjadi sebuah parti yang sama sifatnya dengan UMNO atau Keadilan.  Bagi pilihan yang kedua ini, PAS tidak lagi perlu wujud kerana UMNO sudah sedia ada dan dominan dalam konteks perjuangannya.  Di samping itu Keadilan juga merupakan sebuah parti yang mempertahankan hak Melayu dan Islam pada tahap perjuangannya.  Oleh kerana itu adalah mustahil untuk PAS belepas diri daripada parti keagamaan malah ianya mesti diperkasakan lagi dengan memahamkan masyarakat bahawa perjuangan PAS adalah universal dan menegakkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa dan agama kerana Islam adalah agama yang adil untuk sepanjang zaman, tempat dan keadaan.  Hal ini dipertegaskan oleh tokoh-tokoh dan pejuang yang terdiri daripada alim ulama’ dulu dan sekarang.


Sebenarnya cara penulis berhujah dan membuat kesimpulan adalah tidak berasas dan songsang.  Pertama; dalam satu perenggan yang terdiri daripada 17 baris beliau telah menggunakan dua kali perkataan “kemungkinan”, empat kali perkataan “persepsi”. Menunjukkan bahawa beliau hanya membuat suatu andaian terhadap PAS sebagai parti yang tidak berpengaruh kerana sifatnya sebagai parti keagamaan.  Kedua; beliau mengandaikan dengan persepsi dalam keadaan yang ada ini, memberi implikasi PAS dipimpin oleh golongan agama atau rijaluddin, sedangkan beliau sendiri tahu dalam Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang terdiri daripada 37 anggota hanya seramai 16 sahaja mereka yang berlatarbelakangkan pendididkan agama secara formal termasuklah Dr Mujahid sendiri.  Di samping, mereka juga mempunyai pelbagai kepakaran dan disiplin ilmu selain daripada pengajian Islam.  Ketiga; Alasan daripada petikan Dr Yusuf al-Qardhawi sangat mengelirukan kerana belum pernah ada dalam sejarah PAS, sistem kepimpinannya sampai kepada tahap yang boleh disebut sebagai mengamalkan system kehidupan beragama seperti kehidupan gereja.  Keempat; PAS telah memperakui dasar PAS untuk semua (PAS for all) dalam muktamarnya di Perak Darul Ridzuan pada Ogos 2008. Dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-54 ini, Presiden PAS mengungkapkan: “ ......  tema PAS UNTUK SEMUA adalah berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan yang kita bawa ini adalah merupakan suatu amanah untuk memakmurkan sekalian alam. Perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.Perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Yang Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), perlembagaan PAS.

Saya mengira tulisan penulis ini amat mengelirukan.  Pertama; Beliau telah mengandaikan suatu kemungkinan keatas sebuah persepsi untuk meyakinkan perlunya ada tajdid keatas gerakan PAS yang telah ditubuhkan lebih setengah abad dan menjalani perjuangannya diatas sejarah dan sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang dirumuskan dan dibina dari semasa ke semasa memerlukan suatu penelitian. Menganalogikan bahawa kepimpinan yang dikuasai oleh golongan agama semacam golongan paderi yang mengtaqdiskan diri mereka adalah satu perkara besar dan boleh membawa fitnah keatas kepimpinan ulama’ PAS kerana PAS bukan sebuah parti autokratik yang pemimpinnya tidak boleh ditegur dan dikira bersifat maksum seperti imam-imam Syiah.  PAS mempunyai muktamar tahunannya yang melakukan check and balance keatas kepimpinan dan parti serta jawatankuasa pusat itu sendiri boleh dimuhasabahkan pada bila-bila masa sahaja.  Kedua; Mengemukakan sebuah cadangan untuk mentajdidkan PAS agar keluar daripada parti keagamaan tanpa mengambil kira sejarah penubuhannya, perlembagaannya, kepimpinannya dan usaha-usaha yang dilakukannya dengan cadangan mentajdidkan organisasi adalah perkara yang tidak munasabah kerana penjenamaan PAS adalah identiti dan batang tubuh PAS sendiri.  Bolehkah ditadjidkan parti itu terkeluar daripada identitinya dan matlamat penubuhannya? Ketiga; mengemukakan cadangan tajdid keatas perkara yang sedang berlaku perubahannya dan sedang berjalan melalui pembinaan yang konsiten daripada ucapan-ucapan dasar dan perbahasan-perbahasan muktamar, bukanlah usaha baru yang boleh dinamakan tajdid. Sesungguhnya setiap tahun PAS membina tema-tema pergerakannya yang menggambarkan usaha tajdid yang berterusan.  Keempat; mengemukakan tajdid sehingga ke peringkat menghilangkan identiti parti sebagai sebuah gerakan Islam dalam keadaan parti itu sedang memperkasakan dirinya dengan pelbagai ikhtiar yang menggambarkan dinamismanya dan diterima oleh masyarakat dengan keyakinan yang meningkat dari semasa ke semasa adalah usaha songsang yang tidak memahami nature pergerakan PAS dan realiti yang sedang berlaku. 

Ternyata istilah “PAS for All” tidak dipertahankan oleh penulis walaupun beliau sendiri adalah  Ketua Lajnah Antara Kaum yang diamanahkan oleh PAS untuk memimpin dan menguruskan gerak kerja untuk orang-orang bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS.  Sedangkan kita tahu bahawa PAS sentiasa melakukan tajdid yang selaras dengan kehendak Islam bagi membolehkan PAS mencapai matlamat dakwah dan politiknya sebagai sebuah parti Islam.  Apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh penulis?

Dato' Ustaz Abu Bakar Chik

________________________________________________________________________________
Rujukan-Rujukan

Abdul Hadi Awang, Muqaddimah Aqidah Muslimin, Penerbit Gedung Gua, Kuala Lumpur, 1985, hlm. 37.

J. Funston (1980), Malay Politics in Malaysia: A Study of PAS and UMNO, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.                

Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia (PAS), [Pindaan 2001]

Shafei Ibrahim (1981), The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology.

Yusof Rawa,  Ke Arah Pembabasan Ummah, Pejabat Agong PAS, Kuala Lumpur, 1983, hlm. 4.   (Ucapan Dasar Yang Di Pertua Agong PAS di Muktamar Tahunan PAS Ke 29 pada 29 April 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.).

 

Komen:

Last Updated on Tuesday, 07 August 2012 12:32